04 May 2012

Pesta Buku Antarabangsa PWTC 2012 - Tinggal 3 Hari Lagi!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alahai! Blog ini tiada entri baru sepanjang lima bulan! =(

Kak Ain mahu minta maaf pun, sudah terlewat. Kak Ain mahu minta ampun, pasti sudah tidak dilayan. Huhuhuh! Memang teruk sangat!

Kak Ain sebenarnya terlalu sibuk dengan produksi buku-buku Blink Book Sdn. Bhd.

Bermula tahun 2012, Kak Ain perlu menukar kaver dan mengemaskini konten TUJUH buku-buku Aku Mahu. Inilah hasilnya!




Pada masa yang sama, Kak Ain mengejar produksi ENAM buku-buku baru Blink Book yang disasarkan dijual di Pesta Buku Antarabangsa PWTC.




ALHAMDULILLAH, semua kerja dapat diselesaikan dan semua buku dapat disiapkan mengikut ketetapan masa yang diberikan.

Dan semua buku ini boleh didapati di Kedai Pink AinMaisarah ketika Pesta Buku PWTC yang sedang berlangsung 27 April 2012 hingga 6 Mei 2012. Malah ketika Kak Ain menaip entri ini, Kak Ain sedang berkampung di PWTC menjaga gerai paling 'pink' dan paling 'gedik' di Pesta Buku! ^____^




Kepada pembaca yang mahu bertemu dengan Kak Ain, sila hafal peta ke Kedai Pink AinMaisarah ya!
Kami berada di gerai bernombor L12 dan L13 di ruang legar PWTC sepanjang Pesta Buku ini. 

Sekiranya mahu mencari Kedai Pink, ia berhadapan dengan Restoran Riverside dan Pejabat Pos. Ia juga selaras dengan pentas utama. Jadi tidak perlu naik lif, naik tangga bergerak atau masuk ke dewan kerana gerai Kak Ain berlokasi di Ruang Legar PWTC (ground floor)




Apa yang paling menarik adalah pada tahun ini, Kak Ain memberikan beg troli yang eksklusif kepada pembaca yang memberi pakej buku-buku baru AinMaisarah. Jadi boleh bawa troli dan tidaklah berat-berat menggalas buku ya!




Inilah pakej lengkap buku-buku terbaru AinMaisarah. Hanya boleh didapati di Kedai Pink AinMaisarah sahaja!



Ada enam novelcomel paling terbaru, button badge terbaru, poster, buku nota dan penanda buku. Paling penting mesti dapatkan buku-buku terbaru:

1) Siri Superhero, Hero Takut Zombi
2) Lawak Sekolah
3) Alakudin dan Lampu Tidak Ajaib
4) SenahWhite dan Wannababes Kerdil
5) Aku Mahu Cincin di Jari
6) Aku Mahu Bunga di Hati




Tahun ini, paling seronok kerana karektor-karektor dalam buku AinMaisarah juga dihidupkan dan direalisasikan. Para pembaca boleh bertemu Gadis Bintang, Super 3G dan Mat Blink. Wah! Memang meriah!



Jadi jangan lepaskan peluang ini, jumpa Kak Ain dan lawatlah Kedai Pink AinMaisarah di Pesta Buku PWTC. Ada tiga hari sahaja lagi!

4 Mei 2012 ( Jumaat)
5 Mei 2012 (Sabtu)
6 Mei 2012 (Ahad)

Kak Ain menunggu di gerai, pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam! Mari kita meriahkan bersama!


Jumpa di sana ya!

Salam Sayang,
AinMaisarah
www.facebook.com/ainmaisarah.novelis

02 January 2012

Selamat Tinggal Memori 2011 - Bahagian 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, Kak Ain amat bersyukur diberi peluang hidup setahun lagi. Diberi kepanjangan umur sehingga ke hari ini. Diberi kesempatan bekerja dan berusaha hingga mencapai umur 30 tahun mengikut kalendar Masihi.
Errr.... ada gaya AinMaisarah sudah 30 tahun? @____@


Secara peribadi, tahun 2011 adalah tahun yang penuh warna-warni buat Kak Ain. Kak Ain akan cuba buat rumusan bergambar bagi entri kali ini ya!

JANUARI 2011



Tahun 2011 amat manis pembukaannya kerana pada tarikh 1 Januari 2011, Kak Ain menerima paparan media muka hadapan di Berita Harian. Waktu itu gambar Kak Ain lebih besar daripada gambar PM Dato' Seri Najib Tun Razak, tahu! Hehehe.... ia memang penyuntik semangat ala-ala Livita buat Kak Ain mengharung 2011!

Pada Januari 2011 juga, Kak Ain memulakan penulisan novel bersiri selama 40 minggu bertajuk 'Jutawan Gedik'. Sungguh Kak Ain berterima kasih kepada pihak Berita Harian kerana membuka peluang kerjasama dan promosi. InsyaAllah, moga-moga ia berterusan pada tahun-tahun mendatang. Amin!




FEBRUARI 2011

Bulan Februari, Kak Ain keluar majalah. Sebelum ini memang pernah beberapa kali keluar majalah, namun kali ini lebih istimewa kerana Kak Ain dipilih menjadi cover girl muka hadapan majalah tersebut.

Inilah gambarnya:



Ops... silap-silap! Perasan diva setaraf Dato' Siti Nurhaliza sekejap =) Hehehe... baiklah, kepada yang terlepas isu Februari 2011 Majalah Anis... inilah gambar dan sisipan cerita mengenai AinMaisarah sebagai penulis novel.



Bulan Februari 2011 juga menyaksikan Kak Ain mengorak langkah berbeza apabila membuka penerbitan sendiri. Sebelum ini semua buku-buku tulisan Kak Ain diterbitkan di bawah naungan PTS Sdn. Bhd. Bermula Februari 2011, Kak Ain mempunyai penerbitan sendiri yang diberi nama BLINK BOOK Sdn. Bhd.



Sebenarnya Kak Ain dapat banyak pertanyaan. Mengapa Kak Ain tidak menulis dengan PTS lagi? Merajuk? Bergaduh? Atau sudah tidak sehaluan?

Oh, bukan... bukan... bukan! Sebenarnya Blink Book Sdn. Bhd. adalah syarikat gabungan antara Kak Ain dan 2 orang pemegang saham PTS sendiri iaitu Puan Ainon Mohd. dan Tuan Arief Hakim Sani. Mereka juga menjadi pelabur utama syarikat ini dengan memberi suntikan modal. Malah syarikat besar PTS masih lagi merupakan syarikat yang mengedarkan buku-buku BLINK ke seluruh Malaysia.

Ini kenyataan rasmi oleh Puan Ainon Mohd. iaitu pengasas PTS di laman webnya. InsyaAllah, Kak Ain sangat berpuas hati bekerjasama dengan penerbitan PTS dan harapnya hubungan baik ini kekal hingga bila-bila.

Bulan Februari juga, Kak Ain akan ingat kenangan manis dijemput ke Pesta Buku Brunei. Ini kali kedua Kak Ain ke sana dan ia lebih istimewa kerana Kak Ain pergi bersama sasterawan negara iaitu Dato' A. Samad Said! Berharga sungguh pengalaman ini kerana dapat mendengar cara Bapak Samad bekerja dan berusaha menjadi penulis lagenda.




Satu yang hebat tentang Bapak Samad, orangnya sangat menepati masa! Apabila berjanji mahu ke mana-mana, Bapak akan menunggu di lobi hotel, 15 minit sebelum masanya. Dan nasihat yang paling Kak Ain semat dalam hati adalah supaya terus kuat mengharungi dunia buku dan penerbitan... walau apapun cabaran.




Moga-moga akan ada lagi jemputan majlis bersama Bapak Samad yang sangat Kak Ain hormati karisma, kejayaan, ketabahan dan kehebatan penulisannya!

MAC 2011

Setiap tahun, Kak Ain menyambut ulangtahun kelahiran pada tarikh 5 Mac. Tahun ini Kak Ain dapat hadiah Mac Book Air daripada Cik Abang suami. Yeay!


Namun hadiah ini sebenarnya diterima kerana komputer riba Kak Ain hilang dicuri! Cermin kereta dipecahkan dan perompak begitu laju melarikan komputer yang diletak di tempat duduk belakang! Walhal kami hanya pergi makan sekejap selama 20 minit sahaja. Waktu itu, 10 siri Jutawan Gedik (bersamaan 80 mukasurat penulisan) hilang langsung kerana Kak Ain tidak sempat buat salinan. Huhuhu!

Itu sebabnya suami Kak Ain gantikan dengan Mac Book Air yang ringan. Buat pengajaran... jangan sesekali tinggalkan komputer dalam kereta!

APRIL 2011

Tahun 2011, Pesta Buku Antarabangsa PWTC bermula pada tarikh 22 April. Tahun 2011 juga merupakan tahun kedua Kak Ain mengambil bahagian. Keluar duit poket sendiri sebanyak RM10,400 bagi menyewa dua gerai selama 10 hari Pesta Buku. Itu belum lagi masuk kos hiasan gerai, hadiah-hadiah buat pembaca dan gaji pekerja. Oh! Ikutkan memang banyak modalnya!




Macam biasa, Kedai Pink AinMaisarah tampil berbeza kerana dekorasi gerainya memang over. Hehehe.... ^___^ Ini antara gambar kenangan sewaktu Kak Ain pasang langsir blink-blink. Semangat ala-ala hari raya Aidilfitri!



Penatnya menyiapkan gerai, hanya Allah yang tahu! Dari 10 pagi hingga 10 malam, barulah segalanya siap. Namun segala penat terasa berbayar apabila Kedai Pink menerima kunjungan pelanggan yang penuh sesak!



Sebenarnya Kak Ain selalu berbahagi perasaan apabila mahu menghadapi pesta buku. Seronok mahu jumpa pembaca buku, tetapi pada masa yang sama... takut menghadapi suasana stress melayan terlalu ramai orang. Bayangkan, beginilah suasana pembaca yang beratur meminta tandatangan, setiap kali hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.




Sampaikan bergambar pun sudah sakit-sakit mata... kerana banyak kamera dan berposing dengan berlainan pembaca!




Apapun, rasa seronok tetap memonopoli kerana tahun 2011... Kak Ain menang gerai terbaik di PWTC. Jualan buku-buku juga amat menggalakkan. Paling hebat tentulah peluang berjumpa pembaca yang datang dari jauh dan dekat. Kak Ain memang amat menghargainya!

Bagi tahun 2012 ini, Kak Ain sudah menempah 3 gerai di ruang legar PWTC. Harap semua pembaca doakan supaya dapat tempat strategik ya!

MEI 2011

Bulan Mei merupakan bulan rezeki kerana Cik Abang suami serta syarikatnya Cardyna Sdn. Bhd. terpilih menjadi syarikat yang menerima kemudahan kilang di bawah fasiliti usahawan MARA. Hanya 18 syarikat yang terpilih dan kilang seluas 5000 kaki per segi ini tidak perlu berbayar sewa selama 2 tahun! Wuhuuuu.... jimat duit sewa! (Sekiranya menyewa kilang sebesar keluasan tersebut di kawasan sekitar KL/Selangor, sewanya boleh mencecah RM10,000 sebulan!)




Kilang ini akan menghasilkan jus roselle, jus buah-buahan dan RO Drinking Water. Sekarang Kak Ain sedang bodek-bodek, meminta keluarkan air minuman The Wannababes, mengambil inspirasi air minuman Hello Kitty ini:




Bolehlah semua pengunjung dan pembaca yang singgah Kedai Pink AinMaisarah di Pesta Buku PWTC hilangkan dahaga dengan meminum air yang berpakej cantik sebegini! Harapnya impian Kak Ain dapat direalisasi!

JUN 2011

Oh.... rasanya setakat ini dahulu entri memori 2011 dan ianya perlu bersambung ke Bahagian 2. Ini kerana Kak Ain sudah penat sangat mencari satu per satu gambar kenangan sepanjang 2011! @____@

Bila mahu sambung ya? Hmm... sekiranya ramai memberi komen pada entri blog ini, maka Kak Ain akan buat sambungannya secepat mungkin! Sekiranya kurang komen, Kak Ain buat sambungan cerita tahun 2013 pula! Hehehe! ^___________^ 

Salam Sayang Jumpa Lagi,
AinMaisarah

03 December 2011

Majlis Pelancaran Jutawan Gedik - Selesai & Berjaya - Alhamdulillah!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar semua? Kak Ain doakan semoga sihat sejahtera dan seronok bercuti di hujung minggu.

Wah! Rasa tidak percaya! Seminggu yang lalu, pada tarikh inilah Kak Ain sedang berdebar-debar menanti kehadiran pembaca yang sudi memeriahkan Majlis Perjumpaan Pembaca AinMaisarah di Banglo Pink Titiwangsa.




Pada hari Sabtu yang lalu juga, novel Jutawan Gedik selamat dilancarkan dan secara rasminya boleh dibeli oleh orang ramai. Pelancaran dilakukan dalam keadaan santai tetapi sangat meriah. Hingga penuh banglo, tidak muat pengunjung mahu duduk di kerusi pink yang Kak Ain beli di IKEA! 

Inilah video pelancaran novel Jutawan Gedik. Kak Ain menggunakan perkhidmatan vblogger terkenal iaitu Aman Wan. Kak Ain hanya berlakon di hujung video, tetapi itu pun setelah hampir 10 kali cut-action. Hahaha... memang terbukti, AinMaisarah tiada langsung bakat berlakon dan hanya boleh menulis sahaja. Harapnya masih boleh dikategorikan sebagai gedik, sepertimana permintaan pengarahnya iaitu Aman Wan.




Mesti tonton video ini kerana ianya begitu mencuit hati! ^________^ Klik jangan tidak klik!

Ketika pelancaran novel itu juga, Kak Ain secara rasminya mengumumkan bahawa bagi setiap pembelian buku 'Jutawan Gedik'... RM 1 akan didermakan kepada badan-badan kebajikan. Jadi mari membeli buku ini dan beramal juga!

Selain pelancaran novel 'Jutawan Gedik'... perjumpaan di Banglo Pink juga dipenuhi pelbagai aktiviti. Ada pameran 1000 buku PTS yang lain. Ada stesen-stesen kecantikan yang membolehkan remaja melakukan aktiviti facial spa, rawatan kuku manicure, hiasan indah inai di tangan, menjalani makeover dan kemudian berfoto di white studio. Bagi pembaca lelaki, boleh bermain paint ball di luar banglo!

Kak Ain sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Aman Wan kerana sempat membuat video dan merakamkan aksi-aksi sepanjang majlis. Mahu harapkan Kak Ain, memang sudah terlalu sibuk melayan pembaca dan ibubapa, tim Berita Harian dan kumpulan penulis PTS yang sama-sama memeriahkan majlis. Aduh! Memang terasa seperti jadi ibu pengantin!

Inilah yang berlaku di Banglo Pink berlokasi di Titiwangsa pada hari Sabtu lepas:




Alhamdulillah! Segalanya sudah selesai. InsyaAllah, kita berjumpa lagi tahun hadapan!

Salam Sayang,
AinMaisarah
p/s: InsyaAllah blog seterusnya, Kak Ain ceritakan segala persiapan banglo pink. Kak Ain dan krew tidak tidur hingga pukul 2.30 pagi bagi mempersiapkan setiap perincian majlis! Tunggu entri seterusnya! =)

19 November 2011

Perjumpaan Tahunan Pembaca AinMaisarah di Titiwangsa, 26-28 November 2011.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selamat berhujung minggu dan selamat bercuti sekolah!

Wah! Kak Ain tumpang gembira mendengar cuti sekolah sudah bermula. ENAM MINGGU BERCUTI? Oh, seronoknya! 

Apa pengisian cuti sekolah ini? Selain ikut ibubapa pergi kenduri kahwin, duduk rumah menonton TV dan main basikal Fixi... Kak Ain mahu cadangkan satu aktiviti hebat yang mesti dihadiri dan tidak boleh ketinggalan disertai.

Aktivitinya adalah PERJUMPAAN TAHUNAN PEMBACA AINMAISARAH DI TITIWANGSA!

Ini aktiviti yang julung-julung kali diadakan. Ianya berkonsepkan perjumpaan pembaca remaja yang santai. Kak Ain adakan selama tiga hari di sebuah banglo di Titiwangsa. Inilah gambar banglo tersebut:




Di banglo ini, Kak Ain akan transformasikan menjadi banglo pink AinMaisarah. Kak Ain akan hias menjadi rumah paling pink dan rumah paling gedik di seluruh Malaysia! Hehehe... Kak Ain juga sudah pilih tema kali ini iaitu segala hiasannya adalah polka dot pink! Bagi membuat persiapan, bermacam jenis barangan polka dot sudah Kak Ain kumpulkan. Ini antaranya:

Alas meja, saji makanan, karpet, pembalut hadiah, langsir, beg... waaa... memang semuanya comel-comel belaka!






Selain mentrasformasi banglo itu menjadi tempat perjumpaan yang cantik, bilik-bilik di banglo itu juga akan dipenuhi dengan segala macam aktiviti menarik! Ada 10 bilik di banglo itu. Ada 10 perkara hebat yang boleh dilakukan bagi mengisi masa cuti sekolah. 



Kita ada spa facial muka khas buat remaja. Ada fotoshot yang diambil oleh fotografer profesional. Ada make over dari jurusolek yang berpengalaman. Ada bilik fesyen dan dandanan. Ada rawatan kuku manicure dan hiasan inai bunga ros. Oh! Segala-galanya tentang kecantikan remaja, ada di bawah satu bumbung! Ini memang seperti ' a girl's day to pamper yourself!' 

Selain aktiviti di atas, paling penting sekali apabila mengumpulkan pembaca buku AinMaisarah... pastilah ada pameran buku di sana. Selain membawa 1000 judul-judul terbaik penerbitan PTS... Kak Ain juga bakal mengeluarkan 3 buku baru ketika itu. Pasti ada pakej menarik yang hanya boleh didapati apabila membeli terus daripada AinMaisarah.




Paling hebat, tentulah pelancaran novel Jutawan Gedik! Waktu itu kita ada kek besar Jutawan Gedik, ada penyampaian hadiah-hadiah hebat seperti barang kemas Habib Jewels, buku-buku PTS dan wangian berjenama. Memang lumayan dan jangan ketinggalan hadir ya!



Di sini Kak Ain letakkan informasi majlis. SEMUA DIJEMPUT HADIR.

Lokasi: 
Banglo Pink AinMaisarah, No. 12, Banglo Ukhwah, Titiwangsa
Masa: 9.00 pagi hingga 9.00 malam

Tarikh: 26 November - 28 November 2011 (Sabtu, Ahad dan Isnin)

Datang beramai-ramai ya! Jumpa Kak AinMaisarah yang berkampung di sini!

Salam Sayang,
AinMaisarah 

06 November 2011

Selamat Hari Raya AidilAdha, ucapan dari AinMaisarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pagi ini Kak Ain sudah siap-siap memakai telekung 'pink' mahu pergi ke masjid. Mari kita menunaikan solat sunat AidilAdha. Jangan lupa mandi sunat hari raya dan memakai baju yang paling elok bagi menghadap Tuhan ya!


Selamat hari raya AidilAdha kepada semua! Tahun ini Kak Ain berdoa, mohon dimurahkan rezeki supaya dapat kembali ke dua tanah suci menunaikan umrah dan haji dalam masa terdekat. Ya Allah, mohon permudahkan. Ya Allah, mohon kabulkan.



Ini gambar Kak Ain sewaktu singgah di Laut Merah, dalam perjalanan kembali ke Malaysia setelah menunaikan umrah. Rindu mahu pergi lagi =(


Salam Sayang,
AinMaisarah

01 November 2011

Mr. Right Selebriti: Novel Bersiri di Berita Harian

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kak Ain doakan semua pengunjung berada dalam kesihatan, kesejahteraan dan keceriaan ya!

Lama berdiam, Kak Ain sebenarnya sibuk sangat dengan Program Jelajah Sekolah AinMaisarah. Jadual kalendar Kak Ain penuh sungguh, hingga terasa seperti pelajar pula! 

Alhamdulillah, walaupun sibuk dengan program promosi... Kak Ain masih aktif menulis. Setiap hari, Kak Ain disiplinkan diri... mesti tulis sekurang-kurangnya 3 mukasurat cerita. Dan hasilnya, kini novel terbaru AinMaisarah akan dipaparkan di dalam suratkhabar Berita Harian. Sekiranya pembaca ingat lagi, sebelum ini Kak Ain tampil dengan penceritaan 'Jutawan Gedik'. 

Alhamdulillah, kontrak disambung lagi dengan Berita Harian dan kini Kak Ain menulis cerita baru. Kali ini lebih dewasa dan bergenre 'chiclit'. 

Tajuknya adalah: Mr. Right Selebriti.



Ini pula sinopsis ceritanya, kisah Nana The Wannababes yang sudah dewasa =)

Nana Ilyana binti Yusman, dahulu popoular sebagai The Wannababes di Sekolah Sri Bangsar. Kini usianya di penghujung 20-an. Masih seorang tiada berteman. Tiada calon suami boleh dibawa bertemu keluarga dan diperkenalkan.

Mencari teman hidup bukan semudah memilih kasut. Itu motto Nana bila bercerita tentang jodoh. Lalu dia cuba membuka mata luas-luas. Hasrat hati mahu memilih lelaki yang paling setia dan paling menghargainya. Namun hakikatnya, itu misi mustahil kerana pada usia sebegini, lelaki-lelaki baik kebanyakannya sudah berkahwin dan beranak dua!

Ramai mengesyorkan carian jodoh di Facebook dan medium internet. Namun Nana sendiri tidak menyangka jodohnya melalui jalan berbeza. Bukan Jalan TAR yang sesak sentiasa, tetapi melalui jalan menyertai program realiti TV yang terkemuka. Nana dipilih memasuki program mencari jodoh di TV. Dan tanpa disangka, hatinya betul-betul terpaut pada seorang selebriti. Selebriti yang turut direbut oleh 12 orang gadis!

Mampukah Nana jadi suri hati pilihan selebriti itu? Atau ada rahsia besar yang bakal merosakkan segala harapan hidup bersama? Ketahui kisah Nana dalam novel bersiri nukilan AinMaisarah, setiap Sabtu di Berita Harian.


Haaa... sekiranya mahu tahu kisah selanjutnya tentang Nana yang masuk rancangan realiti TV demi mencari Mr. Right, dapatkan suratkhabar Berita Harian setiap Sabtu ya!

Paling utama... mulai minggu hadapan, 5 November 2011,  setiap siri akan diletakkan keratan bagi pembaca mengumpulnya. Akan ada hadiah khas buat pembaca yang mengumpul keratan-keratan di suratkhabar.

Jangan lupa baca nukilan AinMaisarah di Berita Harian!

Salam Sayang,
AinMaisarah

26 September 2011

Pembukaan Semula Kedai Pink AinMaisarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Moga semua pembaca buku AinMaisarah ceria-ceria selalu dan berada dalam lindunganNya.

Okey, hari ini Kak Ain buat satu entri pemberitahuan. Pemberitahuan khas mohor besar Raja-raja bahawa sesungguhnya... Kedai Pink AinMaisarah kini dibuka kembali seperti biasa!

Yeay! Sudah ada banner baru juga =)




Mari shop-pink dengan cara mudah. Mari beli buku hanya dari rumah. Mari beli buku-buku terbaru yang siap bertandatangan oleh AinMaisarah. Tandatangan original seperti ini =)




Paling seronok, pembaca-pembaca boleh dapatkan buku-buku terbaru Blink Book Sdn. Bhd. bertajuk AKU MAHU SAIZ XL dan AKU MAHU LAWAN HANTU.

Ini laman web rasmi KEDAI PINK AINMAISARAH... klik jangan tidak klik ya!

Paling penting, bacalah bahagian CARA BELI supaya memudahkan para pembaca membuat pesanan.






Namun kepada pembaca yang masih tidak faham cara pembelian, Kak Ain nasihatkan agar minta bantuan ibubapa, kakak abang dan saudara-mara yang lebih berusia bagi mempermudahkan urusan pembelian. 

Okey semua. Sekali lagi Kak Ain ingin war-warkan... inilah pautan Kedai Pink ya! 


Salam Shop Pink,
AinMaisarah

17 September 2011

Entri Pegelap Habuk Blog Bersawang

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Moga-moga semua pengunjung blog ini diberi kesihatan, perlindungan dan keceriaan berpanjangan.

Aduhai! Lamanya Rumah Pink AinMaisarah ditinggalkan! Hmm... mungkin Kak Ain cuba ikut kata pepatah. Sayangkan blog, tinggal-tinggalkan! Hehehe... alasan sungguh! =)

Apapun Kak Ain ucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang selalu mengunjungi. Malah ramai beri mesej dan e-mel supaya Kak Ain masukkan entri terbaru di sini. Kepada pembaca-pembaca setia AinMaisarah, terima kasih kerana terus menyokong. Anda semua memang....

TERBAIK!


Sebenarnya catatan di Rumah Pink AinMaisarah ini bersifat perkongsian informasi dengan pembaca. Apa yang Kak Ain mahu kongsikan? Tentulah kisah perkembangan buku yang rancak bergerak. Tentu juga cerita-cerita pengalaman hidup yang tersimpan dengan banyak. Moga-moga ada nilai positif yang boleh dihadam.

Namun pada masa yang sama, Kak Ain perlu dahulukan penulisan dan kerja-kerja melunaskan novel-novel terbaru. Lagi-lagi apabila kini Kak Ain ada tanggungjawab syarikat sendiri. Ada amanah daripada pelabur-pelabur yang pastinya mahu melihat syarikat buku baru BLINK BOOK Sdn. Bhd. berkembang maju dalam industri buku tempatan.



Amanah inilah yang sedang Kak Ain galas dan ia bukan kerja mudah. Jadi Kak Ain harap pembaca Kak Ain faham situasi Kak Ain sekarang. Kak Ain kini bukan lagi hanya menulis novel, Kak Ain ada produksi penerbitan sendiri yang perlu dijaga. Memang mencabar tetapi Kak Ain suka stress positif sebegini kerana dengan itulah kita boleh bergerak maju ke hadapan lagi.

Tahun 2011 ini, Kak Ain akui... makin lama Kak Ain makin sibuk. Hinggakan mahu bercuti pun tertangguh-tangguh. Ikutkan, Kak Ain sudah beli pakej ke Australia dan Pulau Gemia di Terengganu. Tetapi memang tiada masa mahu ke sana dan tidak sanggup meninggalkan kerja yang bertimbun-timbun.

Tetapi syukur pada Tuhan, dalam banyak-banyak percutian, niat Kak Ain mahu menunaikan umrah dipermudahkan. Itu sebabnya Kak Ain sangat gembira kerana dengan izinNya, Kak Ain dapat menunaikan umrah pada hujung bulan Ramadhan. Tahun ini juga Kak Ain tidak beraya di Malaysia, sebaliknya menikmati Syawal di Mekah sana! Memang ia terasa sungguh-sungguh berbeza!




Paling seronok, Kak Ain bukan sahaja pergi dengan suami. Berkesempatan juga membawa emak dan adik Kak Ain! Dan ianya dapat direalisasi dengan menggunakan wang royalti Kak Ain menulis novel. Alhamdulillah, Kak Ain mahu tulis buku rajin-rajin, fikirkan idea hebat-hebat dan kerja kuat-kuat supaya dapat jejakkan kaki lagi ke sini bersama keluarga lagi!

Awalnya susah betul mahu cari masa. Tambah lagi, jadual Kak Ain penuh dengan Program Jelajah Sekolah. Perancangan awal adalah mahu pergi menunaikan umrah pada bulan Julai. Maklumlah, takut tidak larat berpuasa di Mekah. Tetapi itu perancangan kita sebagai manusia. Akhirnya Tuhan tetap lorongkan supaya permohonan visa dan kekosongan pakej hanya berlaku pada minggu terakhir bulan Ramadhan.

Dan Kak Ain bersyukur dapat ke sana pada waktu itu! Rupa-rupanya minggu terakhir Ramadhan bagaikan Pesta Ibadah yang sangat meriah! Jadual solat Terawih adalah dari pukul 9.00 malam - 11.00 malam. Disambung pula solat Tahajjud, pukul 1.00 pagi - 3.00 pagi. Kemudian balik seketika ke hotel untuk bersahur sebelum pergi lagi ke masjid pukul 4.30 pagi bagi menunaikan solat Subuh. Selepas itu niat iktikaf dan tunggu waktu Dhuha. Pukul 9.00 pagi barulah kembali ke hotel dan berehat.

Sekiranya berada di Malaysia, pasti Kak Ain tidak mampu melakukan itu semua secara sendirian. 12 jam berada di dalam masjid, tidak keluar-keluar! Mengaji, bersolat, berzikir dan bermunajat. Tanpa memikirkan hal dunia dan sentiasa ketakutan teringatkan dosa-dosa. Sungguh, di sana ianya terasa berbeza. Sungguh... itulah kelebihan berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, dua tanah suci peninggalan Rasulullah kepada kita.




Kak Ain doakan moga pembaca-pembaca dan pengunjung blog ini diberi rezeki oleh Ilahi supaya dapat mengunjungi kiblat kita bersolat 5 kali setiap hari. Dapat melihat rumah suci Allah di muka bumi ini. Dapat memohon sebanyak-banyak rahmat, keberkatan dan keampunan buat diri kita dan keluarga yang disayangi.

InsyaAllah... InsyaAllah! Mari kita tanamkan azam kerja kuat-kuat dan simpan duit dalam tabung banyak-banyak supaya dapat jejakkan kaki ke Mekah! =)

Salam Sayang,
AinMaisarah

17 July 2011

AinMaisarah & Kesibukan, Tidak Dapat Dipisahkan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Semoga semua pengunjung Rumah Pink berada dalam kesihatan dan keceriaan berpanjangan. Itu doa Kak Ain untuk semua. Kak Ain sendiri kurang sihat dan membuatkan keadaan bertambah stress apabila terpaksa melalui waktu sibuk sebegini. Sibuk buat apa? 

Kak Ain sibuk memenuhi jemputan bagi Program Jelajah Sekolah yang berjalan dengan giatnya! Malah Kak Ain sudahpun menjelajah hingga 100 sekolah sepanjang program ini dijalankan! Alhamdulillah!

Semua sekolah yang menjemput juga mahu memastikan program dilakukan sebelum Ramadhan. Ia membuatkan sepanjang dua minggu lepas, hari-hari Kak Ain seperti hari persekolahan! Bangun pukul 5.00 pagi dan 7.20 pagi sudah ada di tapak perhimpunan. Kak Ain akan memberikan ceramah di perhimpunan selama 20 minit mengenai kempen membaca dan menulis serta memperkenalkan  buku-buku PTS.




Selepas itu, Kak Ain akan bertemu pelajar ketika waktu rehat. Waktu ini... bersiap-sedialah mahu tandatangan berpuluh-puluh buku dan beratus-ratus kertas kosong. Ada ketika perlu tandatangan atas duit, telapak tangan dan t-shirt! Pada waktu yang sama, Kak Ain mesti bersiap-sedia mahu beramah mesra dengan barisan beratur murid-murid yang panjang.




Haaa.... selesai semuanya, Kak Ain bolehlah menarik nafas sekejap. Tetapi kerja belum selesai! Ini kerana Kak Ain bertanggungjawab menjalankan bengkel penulisan selama satu setengah jam secara percuma kepada pelajar-pelajar yang berminat.




Habis bengkel, barulah Kak Ain boleh meninggalkan sekolah pada pukul 1.00 tengah hari. Waktu itu sudah lembik seperti sayur! Hehehee.... tetapi selalunya Kak Ain ambil tenaga kembali dengan minum kopi. Yeay! Kita minum dahulu! =)

Waktu petang pula adalah masa Kak Ain menyiapkan kerja-kerja penulisan. Kak Ain perlu mengejar produksi buku-buku di bawah penerbitan Blink Book Sdn. Bhd. Setakat ini ada dua buku baru yang sudah siap diedit, dimasukkan dalam layout dan menunggu ke mesin cetak bertajuk:

Aku Mahu Saiz XL



dan Aku Mahu Lawan Hantu (kulit novel ini belum lagi yang final)



Selepas siap dua buku itu, Kak Ain belum boleh bersenang-lenang kerana ada manuskrip-manuskrip baru yang menunggu. Kak Ain akan mula mengerjakan manuskrip 'Aku Mahu Cincin di Jari' dan turut sama pecah kepala memikirkan cadangan kulit novel yang terbaik.

Aduh-aduh-aduh... sekiranya boleh, Kak Ain mahu selesaikan manuskrip ini sebelum Ramadhan menjelma. Mampukah mengejar masa? Kak Ain sendiri akan cuba sedaya upaya!

Paling-paling-paling sibuk dalam kalendar AinMaisarah adalah apabila diberi peluang menyertai Pesta Buku Negeri Sembilan di Seremban. Ianya bakal berlangsung 19 Julai 2011 hingga 24 Julai 2011. Gerai akan dihias ala-ala pink-blink-blink seperti di PWTC juga.




Teringatkan bebanan kerja menghias gerai sahaja sudah buatkan Kak Ain pening kepala bercampur teruja! Harapnya ramailah orang Negeri Sembilan yang akan datang memeriahkan Pesta Buku di Jaya Jusco Seremban 2 ini ya!

Selain berada di Pesta Buku Negeri Sembilan, Kak Ain juga akan menjelajah sekolah-sekolah sekitar Negeri Sembilan sepanjang minggu hadapan. Seminggu Kak Ain jadi orang Nogori dan duduk di sebuah rumah homestay supaya tidak perlu berulang-alik ke KL.

Memang jadual kerja Kak Ain padat betul sekarang ini. Namun harapnya apabila Ramadhan menjelma, Kak Ain sudah boleh menarik nafas lega. Lebih-lebih lagi tahun ini Kak Ain merancang mahu mengerjakan umrah bersama keluarga. Jadi semua kerja-kerja penulisan mesti selesai sebelum pergi. Di sana Kak Ain mahu fokus buat ibadah sahaja. Kak Ain harap sangat semua pembaca Kak Ain dapat doakan Kak Ain selesai tugasan menulis, diberi keluasan masa bekerja dan kesihatan tubuh badan yang optima.

InsyaAllah selepas ini Kak Ain akan masukkan entri baru berkaitan info Pesta Buku Negeri Sembilan ya!

Salam Sayang,
AinMaisarah
p/s: Kredit gambar di PWTC buat Puan Asniza. Terima kasih kerana sudi memberikan gambar yang cantik sekali.

12 June 2011

Keputusan Pertandingan Sinopsis Aku Mahu...

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selamat hujung minggu pada semua! Hari ini pagi-pagi lagi Kak Ain menerima arahan memasukkan entri baru. Entri ini bukan entri biasa-biasa. Entri ini berkaitan 'Pertandingan Sinopsis Aku Mahu' yang diadakan di Facebook AinMaisarah.

Pertandingan ini dijalankan  sepanjang dua minggu cuti persekolahan bagi menggalakkan minat penulisan di kalangan remaja. Kak Ain juga mahu masa cuti pembaca-pembaca AinMaisarah diisi dengan perkara-perkara berfaedah yang membuatkan fikiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Namun serius kami tidak menjangka, pada tarikh akhir penyertaan... sebanyak 130 sinopsis diterima! Wah! Memang amat menggalakkan sungguh penyertaan daripada pembaca-pembaca AinMaisarah!

Secara keseluruhan, Kak Ain puji ayat-ayat penuh beserta tatabahasa sempurna yang digunakan oleh setiap peserta. Tiada bahasa SMS, bahasa rojak atau bahasa muda-mudi 'ituewww'... 'u'ollss' dan 'jerrkkk' yang Kak Ain jumpa dalam sinopsis. Bagus! Sejuk hati Kak Ain membacanya!

Kak Ain juga sangat kagum kerana majoriti peserta pertandingan ini menghafal setiap karektor dan jalan cerita terdahulu dalam novel 'Aku Mahu' yang sedia ada. Semua hafal karektor The Wannababes dan nama guru-guru di Sekolah Sri Bangsar. Malah ada yang tahu nama kucing di sekolah yang Kak Ain wujudkan dalam cerita 'Aku Mahu Buli'. =) Memang Kak Ain seronok apabila tahu pembaca Kak Ain mendalami dan memahami setiap cerita yang Kak Ain hasilkan selama ini!

Secara keseluruhan, Kak Ain puji semua penyertaan. Tambah-tambah lagi yang dihantar oleh pembaca muda berusia 10-11-12 tahun. Asas-asas penulisan sudah ada pada semua peserta. Kak Ain rasa dalam 10 tahun lagi... pasti muncul ramai penulis-penulis berbakat yang akan mewarnai dunia buku di Malaysia ini!

Cuma satu teguran Kak Ain, apabila membaca semua penyertaan yang dihantar, Kak Ain lihat ramai yang menghantar cerita bertemakan cinta. Bukan Kak Ain tidak suka kisah cinta, tetapi sekiranya menulis novel untuk remaja.... luaskan skop pemikiran dan idea. Ada banyak lagi kisah kehidupan remaja yang boleh diketengahkan. Kak Ain tidak mahu muda-muda lagi sudah fikir tentang perkahwinan, soal cerai-berai, bermadu dan kahwin kontrak. Itu lebih sesuai ditulis oleh penulis dewasa, bagi kategori novel dewasa juga. Ingat ya... novel AinMaisarah yang sirinya bertema 'Aku Mahu' adalah novel remaja pengkhususannya.

Majoriti penyertaan juga mempunyai jalan cerita dan asas dan bagus, tetapi konflik utamanya tidak begitu kuat. Paling ramai membuat cerita yang boleh dijangka dan penghujungnya tiada kejutan. Bagi menghasilkan cerita yang baik, hujung novel mesti ada kejutan yang tidak dijangka para pembaca. 

Satu lagi yang buatkan Kak Ain tersenyum, ada juga yang meniru bulat-bulat cerita sedia ada. Ada yang buat cerita ala-ala 'Jutawan Gedik', 'Aku Mahu Saiz S' dan 'Aku Mahu Teman Tapi Mesra'. Segalanya sama cuma nama watak sahaja ditukarkan. Tentunya Kak Ain rasa berbesar hati apabila cerita Kak Ain digunakan dan dijadikan contoh dalam penulisan. Tetapi sekiranya adik-adik ingin jadi penulis yang karyanya dibaca oleh orang ramai, perkara ini perlu dijauhi. Ini sudah masuk isu plagiat dan peniruan. Boleh disaman dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi! Jadi dari awal lagi, cari kelainan dan kekuatan sendiri ya!

Okey, sekarang tibalah masanya Kak Ain umumkan pemenang. Kawal debaran dada dan jangan ada yang sakit jantung pula! =)

Berikut adalah peserta yang mendapat markah yang tertinggi dalam pertandingan ini :






Tempat pertama baucer buku RM200,  'Pertandingan Sinopsis Aku Mahu' jatuh kepada:

(Sila klik gambar kaver buku di facebook : Pemenang Pertama )

Tempat kedua baucer RM100, dirangkul oleh:

(Sila klik gambar kaver buku di facebook : Pemenang Kedua )

Tempat ketiga baucer RM50, dimenangi oleh: 

(Sila klik gambar kaver buku di facebook : Pemenang Ketiga )

Tahniah! Tahniah! Tahniah! Kak Ain ucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pemenang. Semoga ini jadi permulaan dalam menghasilkan idea-idea kreatif akan datang.

Bagi sebarang urusan menukarkan sinopsis kepada novel sebenar, Kak Ain serahkan sepenuhnya kepada Tuan Pengurus AinMaisarah. Sekiranya ada yang menepati ciri-ciri yang dicari, pemenang akan dihubungi oleh Tuan Pengurus AinMaisarah sendiri.

Kepada semua yang menyertai, terima kasih Kak Ain ucapkan. Cuba lagi dalam pertandingan akan datang!

Salam Sayang,
AinMaisarah

-